Jumaat, 6 Ogos 2010

32. RAMADHAN......(TAZKIRAH 7)

Setiap yang di perintahkan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-Nya itu mengandungi beberapa keutamaan yang agung. Antara keutamaan ibadah puasa ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. melalui beberapa sabdanya:

>>>“Telah berfirman Allah ‘Azza Wa Jalla’: “Setiap amal anak Adam itu adalah untuk sendiri, kecuali puasa. Puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan ganjarannya. Puasa itu adalah junnah (perisai), kerana itu apabila salah seorang kamu berpuasa, janganlah dia menuturkan kata-kata yang buruk, yang keji-keji dan uacapan-ucapan yang boleh membangkitkan rangsangan syahwat, dan jangan pulalah dia mendatangkan kebisingan. Apabila dia dimaki oleh seseorang atau diajak untuk berkelahi, maka hendaklah dia mengatakan “Aku ini berpuasa….”.
>>>”Demi Allah, yang diri Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sesungguh-nya bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kesturi”.
>>>”Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang menggembirakannya: Apabila ia berbuka ia gembira, dan apabila ia menemui Tuhannya, ia gembira dengan puasanya”.

(Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.).

“Saya datang kepada Rasulullah S.A.W., lantas saya berkata : “Suruhlah aku mengerjakan sesuatu amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka Rasulullah bersabda: “Tetaplah engkau berpuasa, kerana puasa itu tidak ada bandingannya.” Kemudian saya mendatangi Rasulullah S.A.W. pada kali kedua. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Tetaplah engkau berpuasa.”
(Imam Ahmad, Al-Nasari dan Al-Hakim Abu Umamah.)

“ Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengetahui segala bata-batasnya serta memelihara diri dari segala yang perlu dipelihara diri daripadanya, nescayaa puasanya itu menutupi dosa-dosanya yang telah lalu”.
(Imam Ahmad dan Al-Baihaqi meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri )

“Solat yang lima waktu dari Jumaat ke Jumaat, dan Ramadhan ke Ramadhan, menghapuskan dosa yang terjadi di antaranya, apabila dijauhi segala dosa-dosa besar.”
(Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan